Sunday 28 April 2013

Pantang larang semasa kematian (Kaum utama) di Malaysia

PANTANG LARANG SEMASA KEMATIAN KAUM UTAMA DI MALAYSIA



KAUM MELAYU

Pengenalan
 
Mengikut ajaran Islam, mayat perlu dimuliakan dan dihormati daripada jasad yang hidup. Dalam masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, kewajiban menguruskan mayat saudara sesama Islam adalah fardu kifayah.

Semasa Kematian

Apabila berlaku kematian, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh keluarga si mati ialah memberitahu kepada tok imam agar kematian itu dapat dimaklumkan kepada saudara mara dan jiran tetangga di sekitar kawasan itu. Di kampung-kampung misalnya, pengumuman akan dibuat di masjid oleh tok imam.
Mayat tersebut akan diletakkan di ruang tengah rumah dan dibaringkan serta ditutup dari kepala hingga ke kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke arah kiblat dan kedua-dua tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan atas tangan kiri ke dada. Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran. Pada kebiasaannya di hadapan mayat itu, diletakkan sebuah tempat bara dan kemenyan akan dibakar.
Semasa mayat masih berada di dalam rumah, sebarang jamuan tidak akan diadakan. Mayat tersebut juga perlu dikebumikan secepat yang mungkin. Sebelum dikebumikan, mayat dimandikan oleh tukang mandi mayat dengan tertib dan cermat. Mayat perempuan akan dimandikan oleh tukang mandi mayat perempuan dan begitulah sebaliknya. Namun begitu mereka yang paling baik memandikan mayat ialah di kalangan ahli keluarga si mati sendiri.
Jenazah seterusnya dikapankan, iaitu dengan cara membalut badan mayat dengan kain putih. Bagi jenazah lelaki, mereka perlu dibalut dalam tiga lapisan manakala jenazah wanita pula sebanyak lima lapis beserta telekung. Jenazah juga akan dipakaikan celak dan dibubuh kapur barus. Sebagai penghormatan terakhir, ahli keluarga terdekat dan muhrim dibenarkan mengucup mayat tetapi disyaratkan air mata tidak menitis pada tubuh jenazah. Mayat seterusnya disembahyangkan samada di rumah atau di masjid.
Sebelum jenazah dimasukkan ke dalam keranda,seorang wakil atau waris si mati akan memberi ucapan ringkas dan memohon ampun dan maaf bagi pihak si mati jika selama hayatnya beliau pernah berbuat dosa terhadap seseorang. Wakil tersebut juga akan meminta supaya mana-mana hutang si mati yang masih belum dijelaskan agar dapat dihalalkan ataupun si penuntut boleh menuntutnya pada waris si mati. Sebelum keranda diusung, ahli keluarga terdekat akan lalu sebanyak tiga atau tujuh kali dibawah keranda tersebut supaya mereka tidak terasa rindu pada si mati. Walau bagaimanapun adat lalu di bawah keranda ini tidak lagi dilakukan oleh masyarakat Melayu pada hari ini.




KAUM CINA

Semasa Kematian

Apabila berlaku kematian, mayat akan dibersihkan dan dimandikan sebagai memberi penghormatan terakhir kepada si mati. Setelah dimandikan mayat disapu dengan minyak wangi dan disolek. Ia bertujuan untuk mengharumkan si mati terutama apabila berada di alam akhirat. Kemudiannya mayat tersebut dipakaikan dengan pakaian yang cantik. Lazimnya pakaian tersebut adalah pakaian yang dipakai ketika hari perkahwinan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat Cina menyimpan pakaian perkahwinan untuk dipakai sewaktu meninggal dunia. Si mati turut dipakaikan dengan aksesori yang lain terutamanya wanita. Kemudian mayat akan dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik. Bagi yang kaya, keranda diukir dengan bersalutkan logam. Ini adalah untuk menunjukkan kedudukan seseorang semasa hidupnya.


Penghormatan terakhir kepada si mati



Apabila berlaku kematian, ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai dikehendaki menangis atau meratapi pemergian si mati. Tangisan ini perlu dilakukan dengan kuat apabila si mati diletakkan di ruang tamu sehinggalah diusung ke kawasan perkuburan ditanam. Lazimnya tangisan yang dilakukan perlu diselitkan dengan kata-kata yang menunjukkan si mati telah membuat jasa. Tangisan ,mengungkit keburukan si mati dilarang sama sekali. Jika ini berlaku, roh si mati tidak akan tenteram dan si mati akan tersiksa. Ada juga segelintir masyarakat Cina yang melupuskan hutang piutang si mati dengan alasan untuk mententeramkan si mati agar tidak disoal di alam akhirat kelak. Tangisan ahli keluarga terutama ibu bapa atau saudara yang lebih tua lebih baik dan ini digalakkan dalam masyarakat Cina. Selain itu masyarakat Cina juga akan mengupah lebih ramai untuk menangisi si mati. Tangisan yang kuat terutama dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan amat digalakkan. Tangisan ini seolah-olah menggambarkan kesedihan keluarga dan sahabat handai terhadap kematian itu. Tangisan akan berlanjutan sehingga mayat dikebumikan.

Seterusnya mayat akan dibawa ke jirat atau tanah perkuburan untuk dikebumikan. Pada zaman dahulu masyarakat Cina mengusung mayat dengan menggunakan pengusung yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik . lazimnya ukiran tersebut mengikut status si mati. Sekiranya si mati daripada golongan berada, ukiran lebih halus dan menarik berbanding golongan biasa. Namun pada zaman sekarang mayat yang telah diletakkan ke dalam keranda akan dimasukkan ke dalam lori kecil yang dikhaskan untuk menghantar mayat ke tanah perkuburan.








Semasa mengiring mayat dari rumah ke kawasan perkuburan, pelbagai jenis lagu akan mengiringinya. Lagu tersebut adalah berbentuk agama atau lagu-lagu tradisional masyarakat Cina sebagai lambang kesedihan atau takziah. Tidak kurang juga mereka mendendangkan lagu kegemaran si mati ketika hidup. Lazimnya pemuzik tersebut ditempah khas untuk mengiringi jenazah. Iringan muzik akan bermula dari rumah sehinggalah mayat dikebumikan. Biasanya iringan muzik tidak akan berhenti-henti supaya si mati dapat dihiburkan sehingga berada di alam akhirat.

Lazimnya pada hari tersebut, ahli keluarga si mati akan memakai baju berwarna hitam. Warna lain tidak digalakkan, apatah lagi warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan keluarganya. Baju yang berbunga juga dilarang dalam upacara kematian tersebut. Pakaian ahli keluarga si mati adalah seperti jubah hitam yang lengkap dengan topi. Kemudian mereka akan memakai baju jejaring yang diperbuat daripada jut atau sabut. Baju ini dipakai di bahagian luar baju hitam. Ketika mayat diusung dengan menggunakan lori khas, beberapa kertas yang disalut logam akan dicampak sepanjang sepanjang perjalanan. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina cara ini adalah untuk memastikan roh boleh berjalan pulang ke rumah berpandukan kertas tersebut. 


KAUM INDIA

 Bagi masyarakat India, mereka mempercayai konsep kelahiran semula, iaitu kematian adalah ibarat tidur dan mereka akan bangun selepas tidur. Sarjana India juga menyatakan kematian adalah perpisahan roh dan jasad, di mana jasad akan hancur, tetapi kembali ke alam barzakh . Dalam masyarakat India, mayat akan dibakar atau dikebumikan. Untuk melaksanakan upacara ini, pelbagai adat tertentu akan dilakukan.

Semasa Kematian


Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia, mayat akan diletakkan di ruang tamu. Kepala mayat dihadapkan ke arah selatan dan sebuah lampu minyak atau kaamaatci amman vilakku dipasang dinyalakan. Kemudian sebiji kelapa terbelah dua dan sirih pinang diletakkan berhampiran si mati. Kemenyan dan kapur barus diasap sebagai simbol ketenangan jiwa si mati. Serbuk suci atau tiruniiru disapu pada dahi si mati sebelum disembahyang. Sepanjang mayat berada di dalam rumah, si mati perlu dijaga dengan sebaiknya. Kaki dan tangan mayat perlu diluruskan, ibu jari tangan dan kaki diikat dengan kain putih dan diletakkan ke dada. Mata dan mulut mayat juga perlu ditutup rapat. Setelah itu barulah si mati dibalut dengan menggunakan kain. kunyit disapu pada mata untuk membunuh kuman dan seterusnya duit syiling diletakkan di atas dahi. Sirih pinang ditumbuk dan dimasukkan ke dalam mulut dan lubang hidung akan disumbatkan dengan kapas. Air mawar direnjis dan mayat turut diasapkan dengan kemenyan yang dibakar supaya tidak berbau. Untuk menunjukkan kesedihan, gambar-gambar yang tergantung diterbalikkan dan barang-barang perhiasan dibawa keluar dari ruang tamu. Lagu-lagu suci seperti teevaaram, tiruvaasakam dan seumpamanya dinyanyikan serta diimainkan sehingga ke tanah perkuburan. Tujuannya agar roh si mati sentisa tenang dan aman.
Mayat akan dimandikan terlebih dahulu dan dibaringkan di atas katil di ruang tamu atau halaman rumah. Kaum lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati sahaja boleh membawa air dalam jumlah yang ganjil. Air tersebut diperolehi dari sungai, perigi atau sumber-sumber air yang lain, kecuali air paip. Buyung yang berisi air akan ditutup dengan menggunakan kain dhoti untuk mengelakkan habuk memasuki air tersebut. Kaum wanita pula akan menyambut air tersebut yang digunakan untuk memandikan mayat. Sebelum dimandikan, minyak dan araippu digunakan untuk disapukan pada kepala sebagai mandian terakhir. Sapuan minyak ini dilakukan oleh ahli keluarga dan diikuti oleh saudara mara terdekat. Belakang tapak tangan digunakan untuk menyapu minyak ini dan bukannya menggunakan tapak tangan sebagaimana lazimnya. Mayat seterusnya dimandikan oleh orang yang telah berumur. Selepas dimandikan, si mati akan dipakaikan dengan pakaian baru iaitu sari bagi mayat perempuan dan dhoti bagi mayat lelaki. Mayat yang sudah dibersihkan itu akan diletakkan di ruang tamu sebagai langkah menghormati tetamu.

Upacara Menanggalkan Thaali

Thaali vaangutal merupakan upacara menanggalkan thaali semasa berlakunya sesebuah kematian dalam sesebuah keluarga. Thaali iaitu rantai suci perkahwinan hanya boleh ditanggal oleh seorang isteri setelah suamiya meninggal dunia. Dalam upacara tersebut, si isteri hendaklah duduk di sebelah si mati dan dijirus dengan sebuyung air semasa mayat suaminya dimandikan. Kemudian bunga akan dikalungkan pada leher balu dan kemudian bunga tersebut dikalungkan pada si mati. seterusnya seorang wanita yang sudah berusia dan mempunyai hubungan kekeluargaan akan memegang tangan si mati sambil mengalungkan kalungan bunga ke leher balu dan proses ini dilakukan sebanyak tiga kali. Balu tersebut dikehendaki meletakkan kalungan bunga ke dalam dulang yang berisi minyak, bunga dan susu yang dibawa oleh seorang perempuan lain. Ini dilakukan seolah-olah menunjukkan si suami membuangkan thaali dari leher balu. Thaali itu seterusnya akan dimasukkan ke dalam dulang dan disimpan dalam rumah.

Upacara Vaaikkarisi

Setelah dimandi dan dihias dengan cantik, mayat akan dimasukkan ke dalam keranda. Kapur barus dimasukkan bersama supaya mayat tidak berbau. Kemudian ke dalam mulut mayat akan dimasukkan sedikit makanan sebagai menandakan pemberian terakhir dan inilah yang dinamakan vaaikkarisi. Makanan yang akan dimasukkan ke dalam mulut mayat berupa beras yang diletakkan di dalam sebuah dulang dan diletakkan berhampiran kepala mayat. Sebelum dimasukkan ke dalam mulut mayat, beras akan diarak dari kiri ke kanan. Duit syiling yang diletakkan di dalam dulang yang sama dibalut dengan kain putih. Ini dilakukan oleh kaum perempuan sahaja. Upacara vaaikkarisi akan dilakukan oleh kaum lelaki di tanah perkuburan pula, justeru itu kaum perempuan amat dilarang turut serta ke tanah perkuburan. Sekiranya si mati mempunyai cucu atau cicit, mereka dikehendaki memegang neippantam. Neip bermaksud minyak sapi dan pantam adalah obor. Beberapa batang kayu kecil akan dibalut di bahagian hujung dengan menggunakan kain yang disapu dengan minyak sapi dan dinyalakan. Cucu atau cicit tersebut dikehendaki mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali. Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Saudara mara yang terdekat akan memberi sari atau dhoti kepada si mati sebagai hadiah terakhir. Keranda akan ditutup dan diangkat untuk dibawa ke tanah perkuburan, pada masa yang sama ucapan tenna adudaiya shinanee pottri disebut beberapa kali sebagai menandakan upacara tersebut telah direstui oleh tuhan. Ahli-ahli keluarga akan mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali sebagai tanda penghormatan. 

Kollic Catti

Kollic catti bermaksud periuk tanah liat yang mengandungi api. Periuk tersebut diangkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk. Kollic catti dibawa oleh ahli keluarga si mati samada anak ataupun bapa. Anak sulung melakukan untuk bapa yang telah meninggal dunia dan anak bongsu untuk ibu. Seseorang yang membawa kollic catti mengiringi mayat. Sebelum itu pembawa kollic catti dikehendaki mencukur rambut. Ini menunjukkan bahawa mereka akan hidup lebih bahagia seperti rambut yang baru tumbuh. Ada juga yang mencukur janggut atau misai sebagai menggantikan rambut. Pada masa yang sama sebuah nyiru diisikan dengan bahan-bahan seperti padi goreng, biji sawi dan bijan. Sepanjang perjalanan, bahan-bahan tersebut ditabur dan setiap bahan-bahan tadi mempunyai perlambangan yang tersendiri.
 

4 comments:

  1. Boleh juga saya tahu sumber? Terima kasihh

    ReplyDelete
  2. Maaf tapi ada sesetengah info ttg adat bangsa cina tidak berapa tepat... tangisan di upacara haruslah dielakkan supaya org yg tlh meninggal itu tidak berasa berat hati utk pergi, perbuatan mereka yg mengupah org utk menangis adalah tidak betul, mereka buat sedemikian kerana mereka takut dikatakan tidak syg akan org yg sdh meninggal itu

    ReplyDelete
  3. STILL LACK OF CORRECT INFORMATION.

    ReplyDelete